Ahad, November 22, 2009

ULANGTAHUN PERKAHWINAN YANG KE 5

20 November yang baru berlalu merupakan hari ulangtahun perkahwinanku yang ke 5. Sudah lima tahun rupanya aku menjalani kehidupan bersama abang. 20 November 2004 merupakan tarikh keramat yang tidak mungkin dapat dilupakan. Dengan satulafaz, kami sah sebagai pasangan suami isteri. Segala yang haram menjadi halal. Sungguh indah hukum Allah s.w.t.




Tahun ketiga perkahwinan kami iaitu tahun 2006, kami dikurniakan seorang putera. Al-hamdulillah….

Pejam celik…. Pejam celik…Kini, sudah lima tahun kami melalui kehidupan berdua dengan seorang cahaya mata. Begitu pantas masa berlalu. Rasa macam baru semalam diijab qabulkan.



Kata orang, selepas lima tahun barulah matang sebuah rumah tangga. Betulkah andaian itu? Walaubagaimanapun, pada aku semuanya atas diri sendiri dan pasangan masing-masing. Sama-samalah kita memelihara kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga agar terpelihara daripada sebarang perkara yang tidak diingini. Aku rasa, kita mampu menjadikan sesuatu itu mengikut kehendak kita. Seringkali berdoa kepada Allah s.w.t agar dipelihara rumah tangga kita serta menjalani kehidupan yang diredhoi oleh-Nya Amin….!

Hari ini teringat aku pada sebuah bingkisan yang dikirimkan oleh abang kepadaku melalui SMS sebelum kami bertunang. SMS itu aku simpan hingga ke hari ini. Hari ini, aku salin semula coretan itu di dalam blog ini agar ianya terus menjadi ingatan dan kenangan.

SMS yang ditulis pada 13 Ogos 2004 ( 17:29:40)

“aku bukannya seorang pahlawan, yang mampu melindungimu sepanjang kehidupan. Atau bukanlah seorang hartawan, yang mampu menyalutimu dengan kemewahan. Dan bukan juga seorang cendikiawan, yang mampu mendidikmu penuh kesempurnaan. Yang aku punya…. Hanyalah hati dan perasaan! Kiranya itu mampu membahagiakan akan kubekalkan sepanjang-panjang perjalanan percintaan….”