Ahad, Mei 16, 2010

SELAMAT HARI GURU

16 Mei setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna buat semua guru. HARI GURU... Satu penghargaan dan penghormatan untuk semua yang bergelar GURU...

GURU... orang yang mengajar orang lain walaupun hanya satu huruf telah di i'tiraf sebagai GURU. Betapa hebatnya seorang guru. Guru bukan sahaja mulia di mata masyarakat dengan jasa dan baktinya malah dia amat mulia disisi Allah. sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang-orang yang menyampaikan ilmunya kepada orang lain...

Oleh itu, sempena hari guru 2010, saya memperingatkan diri saya dan semua Guru-guru agar memelihara imej seorang guru.... jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan sedangkan dia sendiri berjalan tak betul....

Sambutlah kemuliaan yang dianugerahkan oleh Allah kerana Allah sendiri telah mengangkat martabat seorang GURU... Nescaya ada sinar keberkatan dan keredhoan dalam diri kita...


GURU OH GURU


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

LAGU TEMA HARI GURU 2010

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia


Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi